Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun bukan muslim. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman dalam perkara ini menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggung-jawab mereka, malah mungkin tidak menunaikan hak anak-anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50 yang bermaksud:
“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Oleh itu kita wajib menyambutnya dengan penuh kesyukuran kerana nikmat Allah SWT ini boleh menghiasi rumah tangga dan menenteramkannya.
“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami).” (Surah al Furqan: 74)
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
“Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau.”
(Surah Ali Imran: 38)
“Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.” (Surah Maryam : 5-6)
Kedua-dua ayat di atas merakamkan doa Nabi Zakaria yang berhajat kepada anak untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.
Menurut Akhlaq Hussain, “Anak-anak yang saleh menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa....” Inipun sekiranya anak-anak tersebut dididik dengan sempurna sehingga menjadi mukmin yang sebenar kerana hanya anak-anak sebegini membolehkan ibu bapa memperolehi sedekah jariah yang dikatakannya.
Apakah hak-hak anak ke atas bapa dan ibunya?
Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beebrapa hadith sahih yang maksudnya:
“Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran”
(Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)
“Pendidikan yang diberikan seseorang kepadanya lebih baik baginya daripada bersedekah satu sha(nilai mata wang)”
“Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik.” (H.R. Tirmidzi)
Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian dan memperolehi kasih sayang ibu bapanya. Akhlaq Hussain menulis, “Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang bagaimanakah mereka mengharapkan anak mereka berkelakuan baik kepada mereka?”
Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu dan bapa adalah menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya. Anak-anak adalah antara amanah yang utama.
Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: (“.......dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya.”)
Oleh itu mendidik anak-anak menjadi soleh adalah satu tanggungjawab diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang berat di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”
Tamaiyuz (perbezaan) di dalam matlamat dan perjalanan hidup pendakwah
Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan disedari ialah terdapat perbezaan yang ketara (tamaiyuz) di antara pendakwah dan anggota harakah Islam dengan anggota masyarakat yang lain. Perbezaan ini adalah dari segi matlamat dan perjalanan hidup kita. Kita menyedari bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya menjadikan diri sebagai manusia Rabbani.
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang bermaksudnya:
“...Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani”
Rabbani bermaksud kita memiliki ciri-ciri Rabbaniyah yang dikehendaki Allah SWT, sama ada di dalam diri atau dalam perjalanan hidup kita. Oleh itu kita mestilah bersifat Rabbani dari sudut ghoyah(matlamat) dan wijhah(haluan) mahupun masdar(sumber) dan manhaj(sistem). Dengan itu sudah pasti kita berbeza besar daripada masyarakat, dari sudut matlamat pendidikan anak-anak dan juga method(kaedah) mendidik mereka.
Seorang sarjana pendidikan, Dr. Abdul Rahman Salih telah menulis: “.....setiap masyarakat mempunyai matlamat-matlamat tertinggi (idealisma) di dalam kehidupan mereka, dan masyarakat itu akan berusaha untuk menghantar anak-anak masyarakatnya kepada matlamat-matlamat tersebut. Setiap masyarakat juga mempunyai jalan-jalan atau metod-metod pendidikan untuk menyampaikan masyarakat tersebut kepada matlamat-matlamat mereka. Oleh itu apabila satu-satu masyarakat mengikuti atau meniru jalan-jalan dan metod-metod pendidikan satu masyarakat yang lain, mereka dengan sendiri telah mengambil idealisma atau hajat tertinggi masyarakat yang diikuti atau yang ditiru.” Oleh demikian dalam melaksanakan tuntutan mendidik anak-anak, kita mestilah berwaspada supaya tidak tergelincir daripada landasan pendidikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diterjemahkan di dalam kehidupan Rasulullah SAW.
Sepertimana yang dijelaskan, kita mempunyai ghoyah (matlamat tertinggi) dan hadaf (matlamat dekat) yang lebih tinggi dan lebih mulia. Ini melahirkan tamaiyuz dengan masyarakat. Kita adalah anggota harakah Islam yang mempunyai matlamat hidup membangunkan sistem Allah. Kita menjadikan tujuan hidup kita untuk menegakkan syariat Allah. Natijah daripada kesedaran ini adalah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Dengan semua aktiviti hidup kita adalah untuk mencapai matlamat yang suci ini. Oleh itu pembinaan diri kita sebagai mukmin(fardi muslim) yang ikhlas berjihad dan pembangunan baitul muslim (keluarga muslim) adalah untuk matlamat tersebut. Kelahiran serta pendidikan anak-anak kita adalah untuk matlamat ini.
Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah
Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang saleh, mereka perlu diproses dengan rapi agar bersedia memikul dan melaksanakan tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan suci dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria di dalam Surah Maryam, ayat 5 yang maksudnya:
“Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.”
Oleh itu kita perlu bertanya kepada diri kita secara serius, adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak kita? Kita perlu melihat anak-anak kita sebagai mad’u (orang yang diseru) yang perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri, pembentukan kefahaman, kesedaran dan pembinaan syakhsiyah.
Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?
Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:
“Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka.”
Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui proses tarbiyah Islamiyah sama ada dari segi manhaj, ghoyah, hadaf serta natijahnya. Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan teristimewa kerana manhaj ini datang daripada Allah SWT, Allah yang berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk berubudiyah kepada Allah SWT semata-mata.
Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapa sendiri; perlu melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani. Ini kerana salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh teladan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan