بسم الله الرحمن الرحيم
MENCARI SEMULA ERTI KEMISKINAN
Terbukti bahawa Islam tidak membenci kemiskinan kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur positif dan istimewa.
Keadaan sedemikian membawa kita kepada satu persoalan penting. Kalau telah terbukti ada nas-nas yang tidak menolak malah cenderung kepada kemiskinan, wajibkah kita sekarang habis-habisan mahu perangi dan membunuh kemiskinan?
Hidup dalam keadaan kaya harta atau miskin harta adalah merupakan pilihan individu, asal saja jiwanya kaya. Namun begitu, kalau pun individu memilih untuk hidup dalam keadaan miskin harta, tetapi kerajaan, organisasi dan ummah Islam mesti tetap kaya harta dan kuat ekonominya. Ini mesti ditunjangi dengan kekayaan jiwa seluruh ahli masyarakatnya. Demikianlah kerajaan, organisasi dan ummah Islam pada zaman Rasulullah s.a.w dan Khulafah-ur-Rashidin.
Hadith-hadith Rasulullah berkenaan kemiskinan.
1) Pertama, kemiskinan merupakan perkara yang sentiasa didoakan oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini dibuktikan dengan doa-doa Baginda yang berikut: "Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan matikanlah aku dalam keadaan miskin”
.2) Juga Doa Rasullullah yg berbunyi, "Wahai Allah Tuhanku, hidupkanlah aku miskin, matikanlah aku miskin, dan kumpulkanlah aku (di padang mashsyar) dalam golongan orang-orang miskin”
3) Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata: "Hai manusia, jangan sampai kesukaran itu mendorong kamu untuk mencari rezeki dari yang haram sebab aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, matikan aku sebagai orang fakir miskin, dan jangan dimatikan aku kaya, dan kumpulkan aku dimashsyar dalam rombongan orang-orang miskin pada hari qiamat, maka sesungguhnya yang amat rugi ialah orang yang miskin di dunia dan tersiksa di akhirat".
4) Malah sebelum Rasulullah s.a.w. pun, ada Nabi-Nabi yang gemar kepada kemiskinan. Imam Ghazali (1980, Jil.7:152) menceritakan bahawa Nabi Isa a.s. bersabda: "Bahawa aku lebih mencintai kemiskinan dan memarahi kenikmatan". Nabi Isa a.s. paling suka apabila Baginda dipanggil "Hai orang miskin!".
5) Kedua, kemiskinan merupakan syi'ar atau lambang orang-orang soleh dan solehah. Imam Ghazali (1980 Jilid 7:149) misalnya berkata: "Ka'bul-ahbar berkata: "Allah SWT berfirman kepada Musa a.s.: "Hai Musa! Apabila engkau melihat kefakiran itu menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Selamat datang kepada syi`ar orang-orang yang soleh".
6) Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda: "Apabila engkau melihat kefakiran datang menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Selamat datang kepada lambang orang-orang soleh. Dan apabila engkau melihat kekayaan datang menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Dosa yang disegerakan siksaannya”
7) Kemiskinan merupakan sebab untuk mendapat kasih sayang Allah SWT. Misalnya Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para Nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran kemiskinan".
Nabi Musa a.s. bertanya kepada Tuhan: "Hai Tuhanku, siapakah kekasihMu dari makhlukMu, sehingga aku cintai mereka keranaMu?". Maka Allah SWT berfirman: "Setiap orang fakir" (Imam Ghazali, 1980, Jil.7:152).
Abul-Laits Assamarqandi (1978) meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Orang-orang faqir mengutus utusan mereka kepada Rasulullah s.a.w. maka berkata: "Ya Rasulullah, saya utusan orang-orang faqir kepadamu.
Jawab Nabi s.a.w.: Selamat datang kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutusmu, engkau datang dari orang-orang yang dicinta oleh Allah. Utusan itu berkata: Ya Rasulullah, orang-orang miskin berkata: Bahawa orang-orang kaya telah memborong semua kebaikan, mereka berhaji dan kami tidak dapat, dan mereka sedekah sedang kami tidak dapat, dan jika sakit mereka mengirim wang untuk tabungan mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Sampaikan kepada orang faqir daripadaku: Bahawa siapa yang sabar dari kamu akan mengharap pahala dari Allah. Maka ia akan mendapat tiga macam yang tidak bisa didapat oleh orang-orang yang kaya-kaya.
a)Pertama, di dalam syurga ada kamar dari yaqut yang merah, orang-orang syurga melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat bintang di langit, tidak dapat masuk ke situ kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mu'min yang faqir.
b)Kedua, orang faqir akan masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah hari iaitu sekeira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka dengan bebas leluasa, dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan masuk sesudah Nabi-Nabi yang lainnya sekira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah kepadanya.
c)Ketiga, jika seseorang faqir membaca: Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahu akhbar dengan tulus ikhlas, dan orang kaya membaca itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar orang faqir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal kebaikan yang lain-lainnya. Maka kembalilah utusan itu memberitahu kepada orang-orang faqir apa yang disabdakan Nabi s.a.w. itu kepada mereka. Maka mereka berkata: Kami redha ya Tuhan, kami puas ya Tuhan".
9) Allah SWT juga ada berfirman: "Telah dihiaskan kepada manusia oleh kecintaan kepada yang menarik seperti wanita, anak, emas dan perak yang berkintal-kintal, kuda yang bagus, binatang ternak dan sawah ladang. Semua itu perhiasan hidup dunia, tetapi Allah mempunyai tempat kembali yang baik. Katakanlah, mahukah Aku tunjukkan kepadamu keadaan yang lebih baik daripada itu? Bagi orang-orang yang berbakti, di sisi Tuhannya akan mendapat syurga-syurga yang mengalir dari bawahnya sungei-sungei, mereka kekal padanya, dengan mendapat jodoh-jodoh yang suci dan keredhaan dari Allah" (Surah Ali-Imran 3:14-15).
10) "Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Aku berdiri dipintu syurga, maka aku dapati kebanyakan orang yang memasukinya adalah daripada kalangan orang miskin; sedangkan orang-orang yang kaya tertahan."- Sahih Muslim - no: 2736
11) "Berdoa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kemiskinan, matikanlah aku dalam kemiskinan dan kumpulkanlah aku (pada Hari Kiamat kelak) dalam golongan orang yang miskin" - Ibn Majah 4125
12) Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". - H.R. Termizi
13) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Celakalah hamba dinar dan dirham. - Sahih al-Bukhari - no: 6435
14) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam: Sesungguhnya setiap umat ada fitnah, dan fitnah bagi umat aku adalah harta - Sahih - no: 592
15) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Tidaklah dua ekor serigala yang dilepaskan kepada seekor kambing akan lebih daripada ketamakan seorang manusia terhadap harta dan kehormatan dirinya, dalam merosakkan agamanya. - al-Tirmizi.
KESIMPULAN
Keseluruhan perbincangan di atas membawa kita kepada kesimpulan bahawa kemiskinan bukanlah bersifat satu dimensi dan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kepada ukuran material semata-mata. Atas sebab itu kemiskinan bukanlah sesuatu yang tersangat keji hingga ianya mesti dimusuhi dan diperangi habis-habisan. Yang perlu diperangi dan dibasmi habis-habisan ialah kemiskinan jiwa, kemiskinan iman dan taqwa.
Atas sebab itu, erti kemiskinan menjadi berbeza dari erti kemiskinan konvensional manakala kedudukan kemiskinan dalam pembangunan juga adalah berbeza dari yang ditanggapi selama ini. Dengan ini, pembangunan tidak semestinya bererti penghapusan kemiskinan dan peningkatan harta kekayaan di peringkat individu.
Sesebuah negara boleh membangun walau masih ada kemiskinan harta individu asal sahaja jiwa masyarakatnya kaya raya. Begitu juga, sesebuah negara akan jadi lebih cemerlang seperti zaman pemerintahan Saiyidina Umar bin Abdul Aziz sehingga tiada penduduknya yang mahu menerima zakat) apabila masyarakatnya bukan sahaja kaya jiwa, tetapi juga kaya harta.
Sebaliknya, sesebuah negara tidak boleh dianggap sebagai membangun walaupun kaya raya harta kalau masyarakatnya miskin jiwa. Apatah lagi kalau mereka miskin harta dan juga miskin jiwa.
Dalam konteks ini, Imam al-Ghazali (1980 Jilid 5:100) mengingatkan: "Miskin dan kaya itu adalah dua keadaan yang mendatangkan percubaan dan ujian....Maka tidaklah harta itu baik semata-mata dan tidaklah harta itu jahat semata-mata. Akan tetapi, harta itu sebab bagi dua hal tersebut keseluruhannya...harta itu alat dan jalan kepada maksud yang sah. Dan dapat pula diambil menjadi alat dan jalan kepada maksud-maksud yang bathil, iaitu maksud-maksud yang mencegah dari kebahagiaan akhirat dan menghalang jalan ilmu dan amal...Jadi harta itu terpuji dan tercela...Maka siapa yang mengambil dari dunia lebih banyak daripada yang memadai baginya, maka ia telah mengambilkebinasaannya".
Jalan yang paling selamat ialah berpegang kepada firman Allah SWT yang mempunyai makna berikut: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengatakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu" (Surah Ath-Thalaaq 65:2-3)
p/s: Hinakah kemiskinan itu ?
Sekian..Wassallam..
sumber:bujangsusah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan