"Inginkan mutiara selamilah lautan..., Inginkan bahagia tempuhilah penderitaan..., Inginkan kejayaan relailah pengorbanan..., Ketahuilah bahawa setiap kepahitan itu sebenarnya terkandung 1000 Kemanisan................."

ahlan wasahlan

JOM p kedai on9 PUTRIDMUMMY
http://dsuriabeautycollection.blogspot.com/

Khamis, 24 Disember 2009

Budaya Membaca Orang Islam Lapuk





Ungkapan “membaca jambatan ilmu” sering kita dengar. Perkataan ‘iqra’ yang bermaksud bacalah merupakan perkara sinonim dalam diri kita sebagai umat Islam. Namun, hakikatnya sejauh mana kita menghayati perkara ini.

Mengimbau kembali sejarah silam kita akan mendapati bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangannya hasil daripada perkembangan pesat dalam bidang keilmuan. Perkembangan pesat wujud akibat semangat suka membaca dan cintakan ilmu dalam diri umat Islam pada zaman itu sehingga lahir ramai ulama’ yang pakar dalam bidang agama, sains, dan teknologi dan natijahnya umat Islam pada masa itu dipandang tinggi dan digeruni oleh umat-umat lain di dunia.

Marcapada, umat Islam pada zaman ini jelas berbeza dengan umat Islam pada masa dahulu. Kita pada masa ini dianggap sebagai umat yang paling hina dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh orang kafir selain kita dipaksa mengikut telunjuk mereka dalam segala bidang tidak kira politik, sosial , dan ekonomi yang memang jelas bertentangan dengan syariat Islamiyyah.

Secara peribadinya saya berpendapat bahawa situasi ini berlaku disebabkan sikap individu muslim sendiri yang semakin jauh daripada amalan membaca dan ilmu pengetahuan. Kita lihat sendiri fenomena di negara kita di mana orang Melayu Islam khususnya tidak suka atau jarang sekali membaca sehinggakan terpaksa diadakan kempen untuk menggalakkan kita membaca. Kempen ini tidaklah salah tetapi berdasarkan pengalaman saya di England dahulu, tidak pernah wujud kempen membaca kerana rakyat di sana boleh dikatakan membaca buku hampir setiap hari manakala kita di sini ada yang hanya membaca sekali dalam sebulan (tidak termasuk buku akademik).

Kanak-kanak di sana memang telah dididik sejak kecil untuk membaca di mana perpustakaan awam disediakan oleh kerajaan di merata tempat dan mereka digalakkan meminjam sebanyak 14 buah buku seorang untuk tempoh seminggu.

Selain itu, di sekolah pula para pelajar diwajibkan untuk membuat laporan tentang sebuah buku yang dibaca setiap minggu. Program-program ini bukan hanya berlaku di sesetengah tempat sahaja tetapi di seluruh negara kerana saya berkesempatan untuk tinggal di beberapa tempat yang berbeza ketika di sana dan mendapati terdapat persamaan tentang budaya membaca rakyat di sana yang memang umum diketahui majoritinya adalah Kristian.

Satu perkara lagi, membaca merupakan amalan orang Barat di mana ibu bapa akan membacakan sebuah buku untuk anak mereka sebelum tidur. Perkara di atas saya kira berlainan dengan budaya membaca di negara-negara Islam khususnya Malaysia.

Jelaslah umat Islam di dunia memang jauh ketinggalan berbanding Barat berkaitan semangat membaca. Tidak hairanlah sekarang ini kita dijajah oleh mereka dan kita tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan semangat suka membaca pada masa ini wujud dalam diri mereka dan telah hilang dalam diri kita, umat Islam.

Saya ingin menyeru kepada umat Islam sekalian agar mengingati kembali wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad iaitu ‘bacalah’. Sedar atau tidak budaya membaca memang telah lama diamalkan oleh kita iaitu amalan membaca al-Quran tetapi janganlah kita hanya sekadar membacanya tetapi tidak memahaminya dan terus menyebabkan kita semakin ke belakang. Sesungguhnya jika kita benar-benar menghayati bacaan al-Quran kita, saya yakin kita mampu mengembalikan zaman keagungan tamadun Islam yang terkenal pada masa dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan